Monday, April 12, 2010

news from enstek


Tony rancang buka hospital kos rendah 2010/04/10

Ketua Eksekutif AirAsia minat ceburi bidang penjagaan kesihatan selepas pendidikan

KETUA Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Seri Dr Tony Fernandes mungkin meneroka perniagaan penjagaan kesihatan pula selepas penerbangan, perhotelan, kewangan, telekomunikasi, sukan permotoran dan pendidikan. "Mungkin hospital," katanya ketika ditanya mengenai perniagaan lain yang akan diterokanya. Baru-baru ini, beliau menyertai sektor pendidikan dengan menguasai 30 peratus pegangan dalam Kuala Lumpur Education City (KLEC). Masih wujud potensi yang luas dalam industri penjagaan kesihatan memandangkan hospital swasta selalunya terlalu mahal dan hospital kerajaan mengendalikan banyak pesakit, kata Tony. "Tetapi hospital kos rendah tidak bermakna pesakit akan mendapat separuh ubat atau balutan," katanya kepada media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara antara KLEC dan Judge Business School, University of Cambridge di Kuala Lumpur semalam. Mengenai pembabitannya dalam bidang pendidikan, Tony berkata, pendidikan adalah sesuatu yang digemarinya dan negara kehilangan banyak bakat tempatan setelah mereka ke luar negara untuk belajar. Sementara itu, di bawah MoU yang dimeterai semalam, KLEC akan akan bekerjasama dengan Judge Business School, University of Cambridge bagi menawarkan program pendidikan lanjutan yang direka khusus untuk eksekutif tempatan. Ketua Eksekutif KLEC, Kahlil Anwar Kamal, berkata program yang disasarkan kepada pengurusan kanan syarikat itu adalah sebahagian inisiatif KLEC dalam mempromosikan program lanjutan eksekutif dan profesional bertaraf dunia, sekali gus membantu merealisasikan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia hab pendidikan serantau. “Pengambilan sulung ialah pada Julai ini di kampus sementara sebelum dipindahkan ke kampus tetap di Bandar Enstek apabila ia siap pada Januari 2012. “Kursus pendek tidak melebihi 10 hari itu akan dikendalikan tenaga pengajar yang diterbangkan dari Cambridge,” katanya. Pada majlis itu, Kahlil mewakili KLEC, manakala Judge Business School oleh Pengarah Program Globalnya, Joerg Geir. Kahlil juga berkata, KLEC akan menjalin kerjasama dengan sekurang-kurangnya dua lagi universiti dari United Kingdom menjelang hujung tahun ini, selain Universiti Sains Malaysia yang sudah pun bersetuju membuka cawangan. Projek KLEC dilancarkan pada 2006 dan ia merangkumi pembangunan Taman Akademi seluas 200 hektar di Bandar Enstek.

No comments:

Post a Comment